Tuesday, September 27, 2022

Lawatan ke Taman Vanila di Amani Vanilla Temerloh

Pada 8 September 2022 (Khamis), satu lawatan telah dijalankan ke Amani Vanilla Temerloh di Kampung Bangau Parit (Temerloh, Pahang) oleh kumpulan pembangunan tanaman bagi Projek SCORSA-UNISEL.  Tujuan lawatan adalah untuk mempelajari teknik semaian dan penanaman pokok vanilla untuk dibangunkan di Rumah Hijau SCORSA melalui teknik akuaponik terancang dan pintar. Semasa di sana, ahli kumpulan telah disambut oleh dua orang pekerja yang memberi informasi tentang latar belakang pengusaha Amani Vanilla Temerloh, (M. Feisal Mohamad Norawi), sejarah pembukaan dan kejayaan yang dicapai sehingga kini. Selanjutnya, ahli kumpulan telah diberi penerangan ringkas dan demonstrasi penyediaan bahan-bahan untuk semaian dan cara penanaman pokok vanilla melalui keratan batang dan penjagaannya. Vanila adalah antara tanaman yang tidak popular di Malaysia memandangkan penjagaannya yang agak rumit, namun permintaan ektrak vanilla diperingkat antarabangsa amatlah tinggi dan penghasilannya mampu memberikan pulangan yang lumayan. Pokoknya memerlukan sokongan untuk membolehkan batangnya melilit atau merambat untuk naik keatas dari permukaan tanah. Tempoh untuk pokoknya matang dan berbunga mengambil masa lebih kurang 3 tahun, di mana proses pendebungaan bagi penghasilan pod buah vanilla perlu dilakukan secara manual dan pokoknya juga mudah dijangkiti penyakit. Ini adalah antara cabaran-cabaran yang dilalui oleh pengusahanya yang kini telah pun berjaya menanam vanilla baka Planifolia di kawasan seluas 1.6 hektar semenjak tahun 2008. Beliau juga telah membuka lagi kawasan penanaman yang lebih luas di Negeri Sembilan. Beliau kini telah berjaya mengeksport hasil tanaman vanillanya ke beberapa buah negara seperti Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman. Sebelum pulang, ahli kumpulan telah dijamu dengan aiskrim perisa vanilla hasil dari tanaman mereka yang ternyata enak dan terasa keasliannya. Hasil dari latihan dan penerangan ringkas ini, ahli kumpulan telah berjaya memindahkan keratan batang vanilla yang telah disemai selama 2 minggu dari tarikh lawatan ke rumah hijau. Keratan batang diikat pada menara sabut kelapa yang dibina di sistem akuaponik. Ahli kumpulan telah memulakan penyelidikan ke atas pertumbuhan pokok vanilla melalui sistem akuaponi, di mana sistem pengairan dan pembajaan asli dari tangki ternakan ikan disalurkan melalui sistem kitaran tertutup. Walaupun teknik ini adalah satu pendekatan baru yang agak mencabar, namun telah kelihatan mata tunas baru tumbuh pada keratan batang vanilla. Oleh itu, diharapkan penyelidikan ke atas penanaman vanilla secara akuaponik ini akan berjaya mencapai objektifnya.

Sekian.



Laluan dan pintu masuk ke Amani Vanilla Temerloh


Pokok vanilla memerlukan kawasan redup bagi mengurangkan pendedahan cahaya matahari


Sabut kelapa dibina seperti menara dan dijadikan sokongan untuk pokok vanilla tumbuh menjalar dari permukaan bawah ke atas


Sesi taklimat dari kakitangan Amani Vanilla Temerloh


Penyediaan bahan-bahan untuk semaian


Keratan pokok vanilla yang telah disemai oleh wakil kumpulan dari Unisel


Penerangan penjagaan dan pembajaan pokok vanilla


Pod buah vanilla yang telah dikeringkan mengandungi ektrak vanilla


Keratan batang yang dipindahakan ke menara sabut kelapa yang dibina pada sistem akuaponik di Rumah Hijau-SCORSA (Unisel)


Bahagian bawah keratan batang dibenamkan sedikit ke dalam timbunan leca balls yang menggantikan fungsi tanah


Mata tunas baru kelihatan tumbuh di bahagian sisi keratan batang vanilla


Disediakan Oleh:

Emi Fazlina Hashim

Ketua

Bahagian Pembangunan Tanaman

Rumah Hijau-SCORSA (UNISEL)













No comments:

Post a Comment

LOW CARBON OPERATING SYSTEM VS GREEN TECHNOLOGY

Low Carbon Operating Systems and green technology work hand in hand to reduce environmental impact and promote sustainability. Green technol...