Thursday, December 25, 2025

Teknologi: Memudahkan Hidup atau Membuat Kita Terlalu Bergantung?


Teknologi kini memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan harian manusia. Tidak dapat dinafikan, kewujudan teknologi telah membawa pelbagai kemudahan kepada pengguna dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk dari segi komunikasi menjadi lebih pantas dan mudah. Dalam bidang pendidikan pula, proses pembelajaran tidak lagi terhad di dalam bilik kuliah apabila kelas dan bahan pembelajaran boleh diakses secara dalam talian. Sebagai contoh, di UNISEL, penggunaan platform E-Learning telah banyak membantu menyokong pembelajaran pelajar dengan lebih fleksibel dan berkesan.


Dalam bidang kejuruteraan dan sains, teknologi membantu meningkatkan kecekapan, ketepatan dan keselamatan. Contohnya, penggunaan perisian simulasi dalam kejuruteraan membolehkan jurutera menguji reka bentuk sebelum dibina, sekali gus menjimatkan masa dan kos. Dalam sektor kesihatan pula, teknologi perubatan moden membantu doktor membuat diagnosis dengan lebih tepat dan pantas.




Namun begitu, penggunaan teknologi tanpa kawalan boleh membawa kepada kesan negatif. Ramai yang sukar berenggang dengan telefon pintar walaupun untuk seketika. Penggunaan media sosial seperti Instagram, TikTok, X dan sebagainya semakin mempengaruhi cara berfikir, berkomunikasi dan berinteraksi dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda. Dalam kalangan pelajar, penggunaan teknologi secara berlebihan tanpa kawalan boleh mengurangkan kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah secara kritikal.



Hakikatnya, teknologi seharusnya dilihat sebagai alat sokongan untuk membantu manusia, bukannya menggantikan sepenuhnya peranan manusia. Walaupun kecerdasan buatan (AI) semakin canggih dan mampu melakukan pelbagai tugas, nilai kemanusiaan seperti empati, kreativiti dan pertimbangan moral masih tidak dapat digantikan oleh mesin.

Dalam pendidikan dan kejuruteraan, penggunaan teknologi yang seimbang amat penting. Teknologi perlu menyokong proses pembelajaran dan penyelesaian masalah, sambil menggalakkan manusia terus berfikir, menganalisis dan membuat keputusan secara rasional.



Kesimpulannya, teknologi sememangnya memberi kelebihan dan manfaat untuk memudahkan kehidupan seharian. Namun, penggunaan yang tidak terkawal boleh menyebabkan kebergantungan yang berlebihan. Oleh itu, keseimbangan dalam penggunaan teknologi amat penting agar ia terus menjadi alat yang membantu, bukan menguasai kehidupan seharian kita.

Sebagai masyarakat berilmu, kita perlu menggunakan teknologi secara berhemah dan bijak serta bertanggungjawab supaya kemajuan sains dan teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa menjejaskan kesejahteraan diri dan persekitaran.

Disediakan oleh: 

Rohaizah Mohd Ghazali dan Siti Nor Baizura Zawawi

  

Monday, July 28, 2025

PEMBENTANGAN FINAL YEAR PROJECT 1, BAGI PROGRAM ISM (KEP) TEKNOLOGI INDUSTRI, SEMESTER APRIL 2025


Sesi pembentangan bagi kursus Final Year Project 1 (FIS3312 / FSS3132) bagi Program ISM (Kep) Teknologi Industri telah berlangsung pada 25 Julai 2025 bertempat di Discussion Room II, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, UNISEL Bestari Jaya. Sesi ini melibatkan tiga orang pelajar tahun akhir iaitu Ahmad Ezahan bin Mohamad Kasim (penyelia: Ts. Noor Halini Baharim), Muhammad Kassim bin Mohd Romli (penyelia: Ts. Dr. Wan Zarina Wan Mohamed) dan Affza Nadhira binti Md Noorizam (penyelia: Dr. Norazlina Idris). Tujuan utama sesi ini adalah untuk menilai cadangan awal projek penyelidikan akhir yang akan dijalankan oleh pelajar sepanjang tempoh semester ini.


Setiap pelajar telah diberikan masa pembentangan selama 20 minit, diikuti sesi soal jawab selama 10 minit bersama panel penilai. Dalam sesi tersebut, pelajar diminta untuk menerangkan latar belakang kajian, pernyataan masalah, objektif kajian, skop kajian, serta kaedah pelaksanaan yang dicadangkan. Panel penilai telah memberikan maklum balas dan cadangan penambahbaikan kepada setiap pelajar bagi memperkemaskan hala tuju kajian dan memastikan metodologi yang bakal digunakan adalah sesuai serta relevan dengan objektif penyelidikan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyelia yang telah memberikan bimbingan kepada pelajar dan juga kepada panel-panel yang telah terlibat dalam sesi penilaian ini. Diharapkan maklum balas yang diberikan dapat membantu pelajar memperkukuh pelaksanaan kajian mereka dalam fasa seterusnya, iaitu Final Year Project 2.













Disediakan oleh:

Ts. Noor Halini binti Baharim,

Pensyarah bagi subjek Final Year Project 1 (FIS3312 / FSS3132)

Semester April 2025









Friday, March 14, 2025

PERTANDINGAN PUBG DI FAKULTI KEJURUTERAAN DAN SAINS HAYAT (FKSH)

 

Pada 21 Februari 2025, Jawatankuasa Program Teknologi Industri dibawah seliaan Ts Dr Wan Zarina Binti Wan Mohamed telah menganjurkan satu pertandingan PUBG yang berlangsung di Bilik Seminar, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FKSH), Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya. Pertandingan ini bermula pada jam 9:00 pagi dan berakhir pada jam 3:00 petang, dengan rehat tengah hari dari jam 12:00 tengah hari hingga 2:30 petang.

 




Sebanyak 10 pasukan, setiap satunya terdiri daripada empat peserta dari pelbagai fakulti di UNISEL Bestari Jaya, telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Setiap pasukan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan berusaha untuk mempamerkan kemahiran terbaik mereka dalam permainan PUBG.

 


Pertandingan ini menyaksikan persaingan yang sengit dan menarik. Selepas beberapa pusingan yang mencabar, pasukan DTI Elite berjaya meraih tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150. Tempat kedua dimenangi oleh pasukan Pak Arab yang menerima hadiah RM100, manakala pasukan Apache Serambai berjaya meraih tempat ketiga dengan hadiah RM70. Selain itu, hadiah saguhati dan anugerah Most Kills turut diberikan kepada peserta yang layak.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Sains dan Bioteknologi, Dr. Roshani Binti Othman. Setiap peserta yang menyertai pertandingan ini juga menerima e-sijil sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.

 






Pertandingan ini bukan sahaja berjaya diadakan dengan lancar tetapi juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar. Ia bukan sekadar menguji kemahiran dan strategi permainan para peserta, malah turut berperanan dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dari pelbagai fakulti dan jurusan. Diharapkan pertandingan sebegini akan terus diadakan pada masa akan datang bagi menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

 

Disediakan oleh :

Tuan Azmar Binti Tuan Daud

Ts Dr Wan Zarina Binti Wan Mohamed

 

Wednesday, March 12, 2025

Friday, March 7, 2025

PEMBENTANGAN PROJEK TAHUN AKHIR 1, BAGI PROGRAM ISM (KEP) TEKNOLOGI INDUSTRI

 

Pada 28 Februari 2025, sesi pembentangan Projek Tahun Akhir 1 bagi pelajar Program ISM (Kep) Teknologi Industri telah diadakan di Discussion Room 1. Majlis bermula pada 9.15 pagi, didahului dengan ucapan ringkas oleh Pensyarah subjek ‘Final Year Project 1’, Ts. Noor Halini Baharim, yang memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar. Seterusnya, sesi diteruskan dengan bacaan doa oleh Ts. Dr Rahmad bin Mohd Taib bagi memberkati majlis.



Seramai enam pelajar telah membentangkan projek masing-masing mengikut giliran yang telah ditetapkan, iaitu Dhevesh, Shashmithra, Imran Amin, Ruttresan, Santhosz dan Muhammad Adam. Setiap pelajar diberikan masa selama 20 minit untuk pembentangan diikuti dengan sesi soal jawab selama 10 minit bersama dua pemeriksa penilai. Pembentangan berlangsung dengan lancar dan teratur, di mana setiap pelajar berjaya menyampaikan hasil kajian mereka dengan baik serta menjawab soalan yang diajukan dengan yakin.














Sepanjang sesi, suasana di dalam bilik pembentangan penuh dengan tumpuan dan profesionalisme. Para pelajar menunjukkan persiapan yang rapi dan penggunaan bahan visual yang jelas dalam menerangkan projek mereka. Pemeriksa penilai turut memberikan maklum balas yang membina kepada setiap pelajar, membantu mereka memahami kekuatan dan aspek yang boleh diperbaiki dalam kajian masing-masing. Keseluruhan sesi berlangsung dalam keadaan yang kondusif dan teratur, mencerminkan usaha gigih yang telah dilakukan oleh para pelajar sepanjang semester ini.

Majlis berakhir pada jam 12.50 tengah hari dengan harapan agar semua pelajar dapat meneruskan usaha mereka dalam subjek ‘Final Year Project II’ pada semester hadapan. Pensyarah serta pemeriksa penilai menasihati para pelajar agar mengambil maklum balas yang diberikan untuk memperbaiki projek mereka sebelum ke peringkat akhir. Diharapkan mereka akan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran seterusnya dan menghasilkan kajian yang berkualiti tinggi.


Disediakan oleh:

Ts. Noor Halini binti Baharim

Tuan Azmar binti Tuan Daud

JAMUAN MAKAN BERSAMA MENTOR-MENTEE SEMESTER NOVEMBER 2024

 

Pada 28 Februari 2025 (Jumaat), satu jamuan makan telah dianjurkan oleh mentor, Puan Tuan Azmar Binti Tuan Daud, bersama para mentee. Jamuan ini diadakan bersempena dengan ketibaan bulan Ramadhan, sebagai persediaan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan, serta meraikan mentee yang akan menjalani latihan industri pada semester hadapan.

Persiapan jamuan dilakukan oleh mentor mentee perempuan ketika solat jumaat. Jamuan bermula selepas solat jumaat dan berakhir pada jam 5 petang. Jumlah mentor mentee dan tetamu yang hadir dianggarkan dalam 50 orang.



Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua mentor dan mentee yang telah hadir dalam majlis ini. Kehadiran dan sokongan anda telah menjayakan program ini dengan penuh kemeriahan dan keakraban. Semoga majlis ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara mentor dan mentee serta menjadi satu kenangan bermakna buat kita semua. 


Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Ts Noor Halini Binti Baharim yang menyumbang nasi lemak dan Dr Hasdianty Binti Abdullah yang menyumbang roti jala serta semua penyumbang makanan dan minuman yang telah bermurah hati dalam menjayakan jamuan ini. Manakala menu utama jamuan adalah mi kari yang dimasak sendiri oleh mentor Puan Tuan Azmar. Sumbangan dan keikhlasan semua penyumbang amatlah dihargai dan telah memeriahkan suasana majlis. 


Semoga segala usaha dan kebaikan ini diberkati serta memberi manfaat kepada kita semua. Akhir kata, selamat menghadapi peperiksaan dan semoga berjaya kepada semua mentee. Kepada yang bakal menjalani latihan industri, semoga memperoleh pengalaman yang berharga dan bermanfaat untuk masa depan. Semoga kita semua berjumpa lagi dilain aktiviti.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh,

Tuan Azmar Binti Tuan Daud


Teknologi: Memudahkan Hidup atau Membuat Kita Terlalu Bergantung?

Teknologi kini memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan harian manusia. Tidak dapat dinafikan, kewujudan teknologi telah membawa pe...