Monday, February 24, 2025

HARI KELUARGA TEKNOLOGI INDUSTRI 2025

 

Pada 20 Februari 2025, Hari Keluarga Teknologi Industri telah diadakan dengan meriah di Tasik UNISEL, menghimpunkan lebih daripada 100 peserta yang terdiri daripada mentor dan mentee dari program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Industri dan program Diploma Teknologi Industri. Program ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara pelajar dan pensyarah, memperkenalkan para mentor kepada pelajar baru, di samping mengurangkan tekanan belajar dan tugasan akademik. Tasik UNISEL yang indah dan tenang menjadi latar sempurna bagi program yang penuh dengan aktiviti santai dan menyeronokkan.



Acara dimulakan dengan sesi ucapan aluan dari Pengarah Program, Puan Tuan Azmar binti Tuan Daud. Seterusnya, diteruskan dengan acara sukaneka, di mana empat permainan dipertandingkan antara 8 kumpulan mentor-mentee, iaitu ceper, chapteh, boling kelapa, dan kayak.  Acara ceper menguji ketangkasan jari, kemahiran mengimbangi dan fokus pemain. Acara chapteh pula mencabar kemahiran dan keseimbangan peserta, di mana setiap kumpulan berusaha memastikan chapteh tidak jatuh ke tanah. Dalam cara boling kelapa, peserta perlu menggolekkan kelapa bagi menjatuhkan botol-botol yang disusun. Gelak tawa kedengaran apabila ada peserta yang tersasar jauh dari sasaran. Acara kayak menyaksikan para peserta mendayung dengan penuh tenaga di permukaan tasik yang tenang, sambil sorakan penonton membakar semangat. Sepanjang acara sukaneka berlangsung, sesi BBQ turut berjalan serentak melibatkan kerjasama antara pelajar dan pensyarah yang bersama memanggang makanan. Semua peserta menikmati hidangan BBQ setelah semua acara sukaneka tamat.





Acara berikutnya adalah sesi penyampaian hadiah bagi acara sukaneka yang dipertandingkan. Setelah persaingan yang sengit dan penuh aksi, kumpulan Ts Noor Halini Baharim binti Baharim berjaya muncul juara, membawa pulang hadiah utama dan sorakan kemenangan daripada rakan-rakan. Kumpulan Ts Dr Rahmad bin Mohd Taib pula berjaya meraih tempat kedua dengan usaha yang membanggakan, manakala Kumpulan Ts Dr Wan Zarina binti Wan Mohamed berpuas hati di tempat ketiga setelah menunjukkan permainan yang mantap. Lain-lain kumpulan mendapat hadiah saguhati sebagai tanda meraikan semangat kesukanan. Setelah tamat acara, semua peserta bersama-sama mengemas kawasan sekitar, menunjukkan semangat gotong-royong dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan alam sekitar.



Secara keseluruhannya, Hari Keluarga Teknologi Industri di Tasik UNISEL berlangsung dengan sangat meriah dan berjaya mencapai matlamatnya. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah, malah memberikan pengalaman berharga serta memori indah yang pasti akan dikenang. Semangat kekeluargaan, kerjasama, dan keseronokan yang terpancar sepanjang hari menjadikan program ini amat bermakna buat semua yang hadir.





Disediakan oleh;

Tuan Azmar binti Tuan Daud

Ts Noor Halini binti Baharim




No comments:

Post a Comment

INTERNATIONAL INNOVATION & EXHIBITION FAIR (IIEF 2025)

  Disediakan oleh : Dr Roshani binti Othman Farrah Nazuha binti Mansor