Wednesday, July 20, 2022

KELESTARIAN ALAM SEKITAR, TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA

 Oleh : NOOR HALINI BINTI BAHARIM



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia berdepan dengan pelbagai isu-isu alam sekitar dan krisis bencana yang paling kritikal dalam sejarah negara. Kejadian bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat, musim kemarau dan masalah jerebu yang semakin kerap berlaku telah meragut ribuan nyawa, kemusnahan harta benda dan menyebabkan kerugian berbillion ringgit. Kemerosotan kualiti alam sekitar yang berkait dengan kepesatan era revolusi industri jelas membuktikan kegagalan masyarakat dalam menterjemahkan konsep kelestarian alam sekitar semulajadi.

Menurut  Kamus Dewan Edisi Keempat, lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal atau tetap.  Kelestarian alam sekitar adalah didefinisikan kepada interaksi, respon, sikap dan tanggungjawab memelihara alam sekitar untuk mengekalkan sumber semula jadi seperti sediakala. Oleh yang demikian, alam sekitar yang lestari dapat digambarkan sebagai persekitaran bumi dan kehidupan makhluk yang kekal bebas daripada sebarang unsur kerosakan alam.

Terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan bagi membantu usaha memelihara alam sekitar yang bersih dan sihat. Berikut adalah langkah-langkah mudah yang boleh dilakukan dalam amalan gaya hidup kita tetapi memberikan impak besar kepada kelestarian alam sekitar.

1.   Gunakan air dengan bertanggungjawab



Air merupakan salah satu sumber asas dalam kehidupan manusia. Selain sebagai minuman, air bersih diperlukan untuk kita melakukan rutin harian seperti mandi, membasuh, memasak dan sebagainya. Di antara tindakan yang boleh diambil sebagai langkah penjimatan penggunaan air adalah menutup pili air semasa menggosok gigi dan bercukur, memasang tangki curahan air tandas dwisistem, segera membaiki paip air yang bocor dan menggunakan mesin basuh apabila muatan pakaian kotor telah penuh.

2. Elakkan pembaziran tenaga elektrik


Setiap peralatan elektrik yang digunakan perlulah bersesuaian dengan spesifikasi saiz, kapasiti, ruang, kuasa dan digunakan secara optimum dan ketika perlu. Penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan menyumbang kepada pembaziran bahan api fosil seperti arang batu dan gas dan seterusnya meningkatkan penghasilan karbon yang menyebabkan pemanasan global dan pencemaran udara.

3. Tanam pokok


Aktiviti berkebun atau bercucuk tanam membantu mengurangkan kesan cuaca panas dan meningkatkan kualiti alam sekitar. Selain daripada memperindahkan sudut dan menyumbang kepada penghijauan persekitaran, aktiviti ini juga menjadi suatu bentuk terapi minda yang dapat memberikan ketenangan diwaktu menghadapi tekanan kerja.

4. Gantikan penggunaan barangan guna buang kepada barangan guna semula


Pembuangan barangan guna buang yang telah rosak dan tidak diperlukan lagi akan meningkatkan sisa buangan pepejal di tapak pelupusan sampah. Oleh itu, penggunaan barangan guna semula dapat meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan, membantu mengurangkan isu pelupusan sampah yang meruncing dan mengurangkan pencemaran alam semula jadi. Penggunaan bateri boleh dicas semula, menggantikan beg plastik dengan beg mesra alam ketika membeli belah, membawa bekas makanan dan botol minuman sendiri ketika pembelian adalah contoh-contoh amalan yang boleh dipraktikkan sebagai usaha melestarikan alam sekitar.

5. Melaksanakan pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) dengan baik


Pelupusan sisa elektrik dan elektronik dengan cara yang salah menyebabkan pembebasan logam berat yang berbahaya  seperti merkuri, kadmium dan plumbum yang memberikan implikasi negatif kepada manusia dan alam sekitar. Gunakan perkhidmatan kontraktor berlesen yang dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar bagi mengendalikan pengurusan e-sisa daripada industri dan isi rumah dan penghantaran ke pusat pengumpulan yang ditetapkan.

6. Amalkan kitar semula

Kitar semula bermaksud mengumpulkan dan mengolah semula bahan buangan menjadi barangan yang baru. Amalan ini adalah usaha terbaik untuk mengurangkan sisa buangan, menjimatkan penggunaan bahan mentah baru, dan mengelakkan pencemaran alam. Di antara contoh barangan yang boleh dikitar semula adalah plastik, logam, kertas dan kaca.

7. Beralih kepada penggunaan tenaga hijau


Tenaga hijau ialah sumber tenaga yang diperoleh daripada alam sekitar secara semula jadi seperti sinar matahari, angin, air dan lain-lain. Sumber tenaga hijau adalah sumber yang boleh diperbaharui dan penggunaan sumber ini untuk penjanaan tenaga hanya memberikan impak minimum kepada alam sekitar. Pada masa kini, tenaga hijau kian popular digunakan dalam penghasilan panel solar dan kenderaan tenaga solar yang mampu menjimatkan penggunaan bahan api fosil dan mengurangkan pembebasan gas-gas berbahaya ke atmosfera bumi.

 

Kewajiban menjaga kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Memelihara alam sekitar pada dasarnya adalah suatu perkara yang mudah. Namun, jika hanya segelintir sahaja yang menjiwai dan mempraktiskan usaha melestarikan alam sekitar, generasi akan datang pastinya akan menghadapi kesulitan dalam meneruskan kelangsungan hidup di muka bumi ini yang semakin tenat.



No comments:

Post a Comment

INNOVATION PRODUCT : POLYCATFISH SUSTAINABLE AGROFOOD SOLUTIONS

  PREPARED BY : DR ROSHANI BINTI OTHMAN NUR AKMAL BINTI SULIMAN DR INTAN FARAHA BINTI AB GHANI