Kursus jangka pendek anjuran Jabatan Kejuruteraan, FKSH ini merupakan kursus pendedahan serta pengenalan awal kepada Analisis Kualiti Air. Kursus yang bertajuk “INTRODUCTION TO WATER QUALITY ANALYSIS; AN INTRODUCTION” ini telah diadakan pada 30 Disember 2021 (Khamis) selama 3 jam secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom.
Penceramah bagi kursus ini adalah Ts. Hajah Hazmin Mansor. Berlatarbelakangkan jurusan Kejuruteraan Kimia dan Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar, juga merupakan seorang pensyarah di Divisyen Kejuruteraan Awam ini mengambil kesempatan untuk berkongsi maklumat berkaitan analisis kualiti air serta kepentingannya.
Objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta berkaitan kondisi kualiti air sungai semasa di negara kita, pengenalan kepada standard kualiti air yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan cara-cara untuk mendapatkan maklumat berkaitan.
Antara topik yang disentuh juga adalah teknik persampelan yang betul serta pembentangan berkaitan analisis penilaian kualiti air serta cara bagaimana untuk mengenalpasti kualiti air secara kasar.
Seramai 13 orang peserta dalam kalangan pelajar, pensyarah, pembantu teknik dan penyelidik telah mendaftar dan menghadiri kursus ini. Yuran penyertaan yang sangat minima dikenakan kepada para peserta sebanyak dua puluh ringgit seorang.
Program 3 jam yang bermula pada jam 9 pagi ini tamat pada jam 12 tengah hari seperti yang dirancang. Program ini tidak mungkin berjalan lancar tanpa sokongan AJK pelaksana yang bertungkus lumus memastikan program berjalan lancar. Bermula dengan sesi pembentangan, diselang-seli dengan soalan, program berakhir pada kira-kira jam 1150 dengan sesi fotografi dalam talian.
Program ini telah menjadi satu titik permulaan di dalam memperkenalkan kursus kualiti air. Lebih banyak siri kursus jangka pendek seperti ini dengan sasaran peserta yang berbeza akan dijalankan pada masa akan datang.
Oleh: Ts Hazmin Binti Mansor
No comments:
Post a Comment