Pameran
Pendidikan dan Kerjaya sempena Karnival Semarak SUSESS & STEM Spark
Carnival Peringkat Negeri Selangor 2026 telah berlangsung pada 11 Jun 2026 di
SMK Bandar Saujana Utama (2), Selangor. Program ini merupakan inisiatif pihak
sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memberikan
pendedahan awal kepada pelajar mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya
selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam bidang Sains,
Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program ini
melibatkan penyertaan seramai 450 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 SMK
Bandar Saujana Utama (2) serta lebih 300 peserta dan pengunjung daripada
sekolah-sekolah jemputan yang hadir sempena pertandingan STEM peringkat negeri.
Melalui program ini, para pelajar berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan
peluang melanjutkan pengajian ke peringkat asasi, diploma dan ijazah, selain
memperoleh pendedahan mengenai pelbagai pilihan kerjaya yang bersesuaian dengan
minat dan kelayakan masing-masing.
Universiti
Selangor (UNISEL) turut mengambil bahagian dalam program ini melalui
penglibatan dua orang pensyarah Fakulti Sains, Teknologi dan Kejuruteraan
(FSTE) iaitu Puan Rozila binti Alias dan Ts. Noor Halini binti Baharim, dan
turut disertai Dr. Saibah Siregar daripada Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan
Pengkomputeran (FCVAC). Selain menyampaikan maklumat berkaitan program akademik
dan laluan pendidikan yang ditawarkan di UNISEL, para pensyarah turut
melaksanakan aktiviti STEM interaktif menerusi modul DIY Dunia Mikrob yang
mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar.
Program ini
turut disertai oleh pelbagai institusi pengajian tinggi dan agensi luar seperti
UPNM, UiTM, MSU, Kolej Geomatika, STDC, UniKL, UM, Kolej Vokasional Kuala
Selangor dan SEGi. Selain itu, beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia turut membuka ruang pameran dan berkongsi maklumat
berkaitan peluang pendidikan serta kerjaya dalam sektor masing-masing.
Secara
keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan
meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan minat pelajar terhadap bidang STEM
serta membantu mereka merancang laluan pendidikan dan kerjaya masa hadapan
dengan lebih jelas, terancang dan berinformasi.
Disediakan oleh:
Puan Rozila
binti Alias
Ts. Noor
Halini binti Baharim



.jpeg)
.jpeg)

.jpeg)


.jpeg)
No comments:
Post a Comment