Klang, 30 Jun 2026– Fakulti Sains,
Teknologi dan Kejuruteraan (FSTE), Universiti Selangor (UNISEL) telah menerima
jemputan ceramah untuk program Halatuju STEM dan Kerjaya di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Dato’ Hamzah, Klang, pada Selasa, 30 Jun 2026. Program ini
merupakan hasil kerjasama antara SMK Dato’ Hamzah dan Portfolio Pemasaran FSTE
UNISEL dalam usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan
bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam
membuat pemilihan aliran pendidikan serta pendedahan perancangan awal laluan
pengajian dan kerjaya masa hadapan. Ceramah telah disampaikan oleh Prof. Madya
Dr. Salina binti Mohamad yang telah berkongsi pencerahan tentang kepentingan
STEM peluang menyambung pengajian serta prospek kerjaya dalam pelbagai bidang
berasaskan sains dan teknologi kepada 50 pelajar Tingkatan 3 yang terpilih.
Pelajar turut diberikan gambaran yang lebih jelas mengenai keperluan tenaga
kerja berkemahiran dalam bidang STEM serta peranan mereka sebagai generasi muda
dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Sesi perbincangan diteruskan
bersama pelajar dan pensyarah bagi meyakinkan pelajar sekaligus mempromosi
aliran dan bidang STEM kepada mereka. Program tersebut turut dijayakan oleh
pensyarah, Puan Rozila binti Alias dan Puan Siti Rahayu binti Hassan dalam
memberikan taklimat program Asasi Sains dan tawaran biasiswa, program diploma
serta program ijazah sarjana muda kepada 31 pelajar Tingkatan 4 dan 29 pelajar
Tingkatan 5 aliran STEM A. Pengetua SMK Dato Hamzah, YBbhg. Tuan Nik Mohd
Shafizal bin Nik Jid dan Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik, En.
Firdaus bin Ariffin telah menyambut baik penglibatan pensyarah fakulti dan
ingin mengadakan jalinan yang lebih erat bagi meningkatkan kesedaran dan minat
pelajar terhadap STEM. Sesi perkongsian yang disampaikan secara interaktif
berjaya menarik perhatian pelajar serta memberi motivasi kepada mereka untuk
melihat STEM sebagai bidang yang luas, relevan dan mempunyai peluang kerjaya
yang cerah. Program ini mencerminkan komitmen FSTE UNISEL dalam melaksanakan
tanggungjawab sosial universiti melalui perkongsian kepakaran, pemindahan ilmu
dan pembangunan komuniti pendidikan. Inisiatif ini selaras dengan SDG 4:
Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan pendedahan pendidikan yang bermakna
dan berimpak kepada pelajar sekolah, di samping menyokong usaha melahirkan
generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran
masa hadapan. Selain itu, kerjasama antara SMK Dato’ Hamzah dan FSTE UNISEL
turut membuka ruang kepada pembentukan hubungan strategik yang lebih kukuh
dalam aspek promosi akademik, pelaksanaan aktiviti STEM, program sekolah angkat
serta potensi kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum
Perjanjian (MoA) pada masa hadapan.Secara keseluruhannya, program Halatuju STEM
dan Kerjaya ini berjaya menjadi platform yang bermanfaat dalam memperkenalkan
peluang pendidikan tinggi, memperkukuhkan minat pelajar terhadap bidang STEM
serta meningkatkan kesedaran tentang peranan UNISEL sebagai institusi
pendidikan tinggi yang aktif menyumbang kepada pembangunan bakat muda dan
komuniti setempat.
Disediakan oleh:
Puan Siti Rahayu binti Hassan
Puan Rozila binti Alias











No comments:
Post a Comment